Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

PENUTUPAN SEMENTARA ROOFTOP AREA DI QING YUN REST HOUSE BAGI PENINGKATAN KESELAMATAN BANDAR SERI BEGAWAN
LOGO - PANJI.png

Penutupan sementara Rooftop Area di Qing Yun Rest House bagi Peningkatan Keselamatan Bandar Seri Begawan, Hari Rabu, 28 Mei 2025 bersamaan 30 Zulkaedah 1446.

 Penutupan Qing Yun.jpg

Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi), Kementerian Pembangunan dalam usaha mengukuhkan lagi aktiviti penguatkuasaan dan memastikan pematuhan peraturan-peraturan di bawah Akta Kawalan Bangunan (Penggal 256) secara terus-menerus melaksanakan pemantauan dan pengawasan bagi menjaga kesejahteraan dan keselamatan orang ramai. Dengan ini, ABCi ingin mengumumkan penutupan sementara Rooftop Area di Qing Yun Rest House termasuk kolam renang, taman permainan Air dan dome berkuatkuasa bermula pada 28 Mei 2025 sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kemudian. Penutupan ini adalah untuk mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan orang ramai terutama kalangan kanak-kanak dan dalam memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap akta dan peraturan di bawah Autoriti ini.

 

2.  Qing Yun Rest House, Jaya Setia, Mukim Berakas A, telah dikeluarkan Notis Menutup rooftop area atas kesalahan di bawah Seksyen 16, Akta Kawalan Bangunan (Penggal 256), iaitu tiada seorang pun boleh menduduki, membenarkan atau menyebabkan untuk diduduki, mana-mana bangunan atau bahagiannya di mana kerja bangunan telah dijalankan melainkan Pihak Berkuasa telah mengeluarkan permit Kesiapan Kemajuan dalam bangunan itu atau bahagian dari bangunan itu. Dalam hal ini pihak ABCi telah mendapati terdapat ubahsuai terhadap kolam renang dan tambahan taman permainan Air dan dome yang dikehendaki untuk mendapatkan kebenaran seperti lazimnya. Untuk makluman orang ramai, mana-mana orang yang melanggar seksyen ini adalah melakukan suatu kesalahan dan jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi $20,000, penjara selama tempoh tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya.

 

3.  Sebagai peringatan, sebarang kerja-kerja kemajuan termasuk kerja tanah, ubahusai dan tambahan bangunan, pembinaan retaining wall, pemasangan awning serta meroboh bangunan hendaklah mematuhi Akta Kawalan Bangunan (Penggal 256), Peraturan-Peraturan Kawalan Bangunan, piawaian dan garispanduan yang berjalan pada masa ini bagi mendokong pembangunan Negara berpandukan kepada akta dan peraturan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Negara Brunei Darussalam.

 

4.  Pihak ABCi ingin menyeru orang ramai supaya sentiasa menjaga keselamatan di tempat riadah dan meningkatkan sifat pemedulian demi keselamatan dan kesejahteraan semua.

 

Sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi pihak ABCi menerusi emel di enforcement.abci@mod.gov.bn


Attachments